MENU

APAKAH ITU CUKAI TAKSIRAN AM?

Cukai Taksiran Am ialah Cukai yang dikenakan ke atas pegangan berkadar seperti  :

  • Rumah Kediaman

  • Harta Perusahaan (Kedai, Kilang, Hotel dsb )

  • Tanah Kosong yang terletak di dalam Kawasan Majlis Daerah Lipis.

BAGAIMANA IA DIBAYAR?

Cukai Taksiran AM dibayar 2 kali setahun iaitu :

  • ½ tahun pertama – 1hb. Januari hingga 28hb. Februari.

  • ½ tahun kedua – 1hb. Jun hingga 31hb. Ogos bagi tiap-tiap tahun.

APAKAH YANG AKAN TERJADI KEPADA ANDA JIKA TIDAK MENJELASKAN CUKAI DALAM TEMPOH TERSEBUT ?

Mengikut Akta 171, anda akan dikenakan tindakan –tindakan seperti berikut :

  • Notis (Borang E) akan dikeluarkan kepada anda. Anda dikehendaki menjelaskan dalam masa 1 hari daripada tarikh notis. Denda sebanyak 2 peratus daripada baki tunggakan akan dikenakan kepada anda mengikut Seksyen 147(1).

  • Jika masih gagal, waran tahanan akan dikeluarkan kepada anda. Waran ini membolehkan Majlis Daerah Lipis merampas barang-barang yang ada di dalam bangunan atau menutup bangunan daripada menjalankan operasinya atau melelong bangunan tanah melalui Pendaftar Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 151. Bayaran waran sebanyak 10 peratus juga akan dikenakan.

BAGAIMANA UNTUK ELAKKAN KENA DENDA ATAU TINDAKAN MAHKAMAH ?

  • Bayar segera sebelum 28hb. Februari – 31hb. Ogos pada tiap-tiap tahun.

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN JIKA BIL-BIL TIDAK DITERIMA?

Datang sendiri ke Pejabat Majlis Daerah Lipis, Unit Penilaian dan Harta untuk mendapatkan bil-bil tuan-tuan/puan-puan. Jangan lupa bawa maklumat-maklumat seperti berikut :-

  • No. Lot/No.Rumah dan kedudukan harta.

  • No. Akaun (Jika ada) atau

  • Bawa bil lama untuk rujukan.

JIKA ANDA HANYA SEORANG PENYEWA RUMAH / BANGUNAN TERSEBUT APA HARUS ANDA LAKUKAN?

  • Anda boleh mengemukan bil-bil ini kepada pemilik untuk bayaran segera. Jika pemilik gagal untuk menjelaskan cukai tersebut harta anda di dalam bangunan itu akan dirampas. Oleh itu anda boleh melindunginya dengan membayar sewanya kepada Majlis Daerah Lipis Sehingga tunggakan dijelaskan. Peruntukan Seksyen 151(6). Akta 171 Kerajaan Tempatan, melindungi anda!

APAKAH YANG HARUS ANDA LAKUKAN APABILA ANDA INGIN MEMBELI SEBUAH RUMAH / TANAH KOSONG?

  • Semak dulu dengan Majlis Daerah Lipis untuk nama yang didaftar dan tunggakan yang masih ada bagi rumah / tanah  tersebut untuk mengelakkan anda menyesal di kemudian hari, Seksyen 146, Akta 171 menegaskan bahawa semua kadar (tunggakan) adalah menjadi tanggungjawab pemilik pada masa itu untuk menjelaskannya. Anda dinasihatkan supaya menyemak dahulu pengurusan yang menguruskan urusniaga harta tersebut untuk menentukan tunggakan telah dijelaskan oleh pemilik sebelumnya.

JIKA ANDA TELAH MENUKAR MILIK /  MENJUAL / MEWARISKAN RUMAH / HARTA, APA PERLU ANDA BUAT ?

  • Beritahu kepada Majlis Daerah Lipis dengan mengisikan Borang 1 / Borang J dan lain yang berkenaan dalam tempoh 3 bulan selepas pindahmilik dilakukan. Jika gagal Pihak Majlis Daerah Lipis boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 160(6) Akta 171. 

JIKA ANDA TIDAK MAMPU BAGAIMANA UNTUK MENJELASKAN CUKAI?

  • Majlis Daerah Lipis akan menimbangkan untuk bayaran dibuat secara ansur. Untuk itu, anda dinasihatkan untuk datang sendiri ke Pejabat Majlis Daerah Lipis, Unit Penilaian dan Harta untuk membincangkan perkara itu dengan pengawai-pengawai yang berkenaan. Pihak Majlis Daerah Lipis juga bersedia untuk menyelesaikan lain-lain masalah anda mengenai Cukai Taksiran AM. Sebarang masalah boleh dikemukan di Pejabat Majlis Daerah Lipis.

Yang Di Pertua.
Majlis Daerah Lipis,
27200 Kuala Lipis.

Pada waktu-waktu Pejabat
8.00a.m – 12.45p.m
2.00p.m – 4.30p.m